Dr Zulkifli Mustafa
Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa merupakan seorang graduan Doktor Perubatan Veterinar dan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Neurosains pada tahun 2014. Dia berkhidmat sebagai pensyarah kanan dan penyelidik neurosains di Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.
Penyelidikannya berfokus kepada neurosains molekular dan model kognitif lebah, selain bertumpu kepada inovasi sosial bagi transformasi industri lebah kelulut. Dalam usaha memperkenalkan madu berkualiti tinggi daripada lebah kelulut bagi tujuan penyelidikan otak, beliau telah mewujudkan projek "Reinventing Honey Quality" (RHQ).
Seramai lebih daripada 2000 penternak kelulut di Malaysia telah dilatih di bawah projek ini. Beliau juga memegang pemilikan hakcipta untuk peralatan perternakan kelulut, iaitu MUSTAFA-Hive dan sistem HILDA selain telah menerbitkan modul penternakan kelulut yang memfokuskan kelestarian dan penternakan kelulut berpiawaian.
Projek ini juga telah melihat rangkaian kerjasama antara USM dengan agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA dan FRIM melalui pemilikan hakcipta dan bengkel latihan. Projek ini telah berjaya mendapat penajaan berasaskan komuniti daripada Knowledge Transfer Grant, Private-Public Research Grant Network, Translational Research Grant dan Malaysian Research University Network Grant daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Inovasi Pertanian peringkat kebangsaan pada 2015, Pingat Emas di Malaysian Agriculture Invention Show 2015, dan Ikon Usahawan Negeri 2017 di atas sumbangan beliau dalam bidang ini.